Buletin PPIP

BERSYUKUR kami ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izi-Nya kami berpeluang membina laman web Buletin PPIP ini. Setiap yang baru, tentulah memberi harapan baru dan semangat yang baru. Harapan kami agar risalah ini diukur sebagai ibadah oleh Allah s.w.t. Harapan kami juga, agar Buletin PPIP ini mendapat sambutan oleh semua pembaca dan kami percaya semua pembaca mampu memilih dan menilai bahan bacaan yang bermutu untuk dijadikan santapan rohani.

Monday, August 08, 2005

Bulan Rejab: Fadhilat dan Kelebihannya

Apakah fadilatnya melebihi dari bulan-bulan yang lain? Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam. Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam dimana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga ada orang Islam yang berpendapat bahawa bulan inilah berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj Nabi Muhammad saw. Tidak kurang juga ramai yang melihat bulan Rejab ini sebagai satu bulan spiritual dimana mereka mempertingkatkan ibadat sunat khususnya ibadat puasa.

Tarikan dan seruan yang ditiup kedalam jiwa umat Islam Nusantara terutamanya untuk melakukan ibadat kebanyakkannya dipengaruhi oleh penyebaran beberapa hadis-hadis yang mengandungi Fadilat-Fadilat beribadat didalam bulan ini. Jelas terlihat dari segi jualan buku- buku kecil yang mengandungi fadilat-fadilat bulan Islam begitu laris dipasaran menjelang bulan Rejab. Begitu juga dizaman era Internet ini (ICT), e- mail dan maling list yang di forwardkan mengandungi 'cut & paste' dari fadilat-fadilat Rejab yang terkandung didalamnya. Rata-rata tarikan fad'il (fadilat-fadilat) inilah merupakan faktor penarik kepada kebiasaan orang awam untuk melakukan ibadat sunat. Injeksi faktor ini dapat kita lihat dengan jelas penerapannya didalam budaya Melayu-Islam seperti rangkap-rangkap sya'ir dibawah ini.

Rejab bulan menabur benih
Sya'ban bulan menyiram tanaman
Ramadan bulan menuai

Rejab menyuci badannya
Sya'ban menyucikan hati
Ramadan menyucikan rohnya

Rejab bulan marghfirah
Sya'ban bulan syafaat
Ramadan bulan menggandakan kebajikan

Rejab bulan taubat
Sya'ban bulan muhibbah
Ramadan dilimpahi pahala amalan seperti hujan mencurah banyaknya

Rejab digandakan 70 pahala
Sya'ban diganda 700 pahala
Ramadan diganda 1000 pahala

Mungkin timbul beberapa persoalan yang tersimpan didalam lubuk hati kita:
-mengapa bulan Rejab sahaja yang dipilih mempunyai kelebihannya? Pernah atau tidak kita terfikir yang mungkin berita-berita ini ditokok tambah (exaggerate) oleh manusia biasa yang bercakap atas nama Nabi saw? Mengapa didalam bulan ini terdapat solat-solat khas, zikir-zikir khas dan juga waktu-waktu khas untuk melakukan peribadatan? Disini kita ingin membawa beberapa penjelasan dari ulama'-ulama' muktabar dan kontemporari mengenai kesahihan fadilat yang terdapat didalam bulan itu sendiri, dan apakah sebenarnya fadilat yang terkandung didalam Rejab.

Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan 'Haram' didalam Islam. Dalilnya terdapat didalam Firmah Allah swt didalam Surah Al-Taubah ayat 9:

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa."

Menurut Tafsir Jalalain, yang dimaksudkan dengan "diantaranya empat bulan yang di hormati" ialah - Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab"

Allah swt telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram. Bulan- bulan ini sebagaimana yang disepakati oleh semua ulama' ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang didalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diugut. Didalam bulan ini terdapatnya ibadat Haji dijalankan (Zulhijjah), dimana pada hari Arafah disunatkan bagi mereka yang tidak menunaikan haji melakukan ibadat puasa. Rasulullah saw juga menggalakan umat Islam melakukan puasa sunat pada hari Asyura' (10 hb Muharam).

Apakah terdapatnya kesahihan fadilat khas berpuasa didalam bulan Rejab?
Disini nyatakan pandangan para ulama' mengenai kesahihan fadilat Rejab.

1] Sheikh Atiyah Al-Saqr.

Kebanyakkan fadilat Rejab terkandung didalam Hadis yang sangat Lemah dan Palsu.

Bekas Ketua Lujnah Fatwa Al-Azhar mengatakan bahawa setiap fadilat sesuatu perkara itu harus dilihat dari segi nas yang sahih dan beliau melihat bahawa hadis-hadis yang didatangkan mengenai fadilat didalam bulan Rejab kebanyakkannya adalah lemah dan palsu, katanya:

"Allah Subhanahu Wa Ta'ala memberi fadilat kepada beberapa bulan dan tempat, tetapi tidak thabit untuk masa (zaman) dan untuk tempat melainkan dengan dalil yang qath'i (nyata) dan tidak thabit sehingga tidak mendusta keatas Nabi Muhammad saw, dan banyak hadis-hadis timbul mengenai fadilat bulan Rejab, dimana statusnya antara Dha'if dan Mawdhu', dan tidak thabit dari pembawanya (naqal)."

Menurut Al-Saqr lagi bahawa:

"Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Mohammad bin Hajar Asqalaani meletakkan didalam risalahnya dengan topiknya : Penjelasan yang datang didalam Fadilat Rejab, pengumpulan jumhur Hadis menyebut mengenai Fadilat- Fadilat Rejab, Puasa dan Solat didalamnya. Ia dikelaskan sebagai Lemah dan Mawdhu"

Fadilat Rejab berada bersama dengan Fadilat bulan-bulan haram yang lain.

Fadilat Rejab secara umumnya berada didalam Fadilat bulan-bulan Haram sebagaimana Firman Allah didalam surah Taubah:36 dan terdapat juga Hadis Sahihin mengenai Hijatul Wada', didalamnya dinyatakan nama bulan bulan tersebut, iaitu : Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, dan yang tunggal ialah Rejab. Dimasa itu orang Islam ditegah melakukan kezaliman, peperangan dan juga dilarang melakukan maksiat kepada Allah swt.

Berpuasa hari pertama atau yang lain sama sahaja fadilatnya.

Berkata Al-Saqr lagi bahawa:

"Amalan Saleh didalam bulan Rejab adalah sebagaimana ganjarannya didalam bulan-bulan Haram, yang didalamnya terdapat puasa, SAMA sahaja [berpuasa] hari pertama atau pun hari akhir. Berkata Ibnu Hajar : 'Sesungguhnya bagi bulan Rejab tidak terdapatnya hadis mengenai fadilat khas berpuasa, tidak terdapat yang Sahih atau Hasan'. "

Beliau memetik beberapa hadis da'if dan palsu, diantaranya ialah:

i. "Sesungguhnya didalam syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yang berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu" - hadis ini Dha'if.

ii. "Barangsiapa berpuasa sehari didalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu bulan, dan siapa yang berpuasa didalamnya 7 hari maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka, dan barangsiapa yang berpuasa 8 hari maka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yang berpuasa 10 hari, maka akan digantikan dosa dengan kebaikan" - hadis ini Dha;if.

iii. Terdapat sebuah hadis yang panjang mengandungi fadilat berpuasa rejab menurut hari, dan didalamnya terkandung matan :

"Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku" - Hadis ini palsu.

Tidak ada solat khas didalam Rejab.

Daripada Hadis yang tidak diterima (ghair maqbulah) mengenai solat :

"Barangsiapa yang solat Magrib di awal malam dari bulan Rejab, kemudian diikuti oleh solat 20 rakaat selepasnya, dia membaca pada setiap rakaat Al-Fatihah dan Qulhu Allahu Ahad sekali dan dia memberi salam kepadanya 10 kali salam, Allah akan menjaga dirinya, keluarganya, hartanya dan anaknya, dan akan diselamatkan dari azab kubur, dan perjalanan di sirat bagaikan boraq, tanpa hisab dan azab." - Itu adalah hadis Mawdhu'

Menziarah kubur pada bulan Rejab tiada nasnya:

Mengenai fadilat menziarah kubur pada bulan Rejab, Sheikh Atiyah Al- Saqr mengatakan bahawa perbuatan ini tidak ada dalilnya didalam Islam. Beliau menyarankan agar lebih elok melihat mengenai sejarah- sejarah yang berlaku dibulan Rejab dan mengambil tauladan daripadanya.

"Ini adalah manusia yang prihatin, dan wanita dari kumpulan tertentu, mereka menziarahi kubur pada hari Jumaat pertama didalam bulan Rejab, tidaklah ada asalnya didalam agama, dan ganjaran yang besar daripada ziarah tersebut, dan bukanlah hari ini. Adalah lebih aula didalam bulan Rejab ini kita mengingati kembali sejarah yang berlaku kepadanya seperti penaklukan Tabuk, mngingati Salahuddin Al-Ayobi menyelamatkan Jerusalem (Al-Qudus) dari tangan tentera Salib (Rejab 583H, 1187M). Orang Arab dan Islam menyucikan Masjid Al-Aqsa dari Ketua Pasukan Pakatan. Kita mengingatkan kembali peristiwa Isra' dan Mi'raj iaitu pengajaran darinya, dimana orang Islam menganggapnya berlaku didalam bulan Rejab. Allah yang Maha Mengetahui."

2] Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi

Fadilat Rejab sama dengan fadilat bulan-bulan haram yang lain

Dr. Yusuf Al-Qardhawi mengatakan bahawa fadilat Rejab adalah sama seperti yang terdapat didalam 3 bulan-bulan Haram yang lain. Katanya:

"Tidaklah ada kesahihan didalam bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu dari bulan-bulan haram, bahawa Allah swt telah menyebut didalam kitabnya - didalamnya ada 4 bulan haram - Al-Taubah:36. Iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram....Itulah bulan-bulan yang mempunyai fadilat. Tidak terdapat Hadis Sahih bahawa Rejab khusus mengatakan Rejab lebih afdal, melainkan Hadis Hasan: Sesungguhnya Nabi saw banyak berpuasa didalam Sya'ban.."

Hadis-Hadis mengenai fadilat Rejab kebanyakkannya lemah dan palsu.

Beliau juga menyatakan bahawa hadis-hadis mengenai fadilat-fadilat khas Rejab kebanyakkan merupakan Hadis Palsu atau pun yang sangat Lemah tarafnya:

"Hadis ini dimaklumkan sebagai sebuah hadis yang mengandungi fadilat Rejab - "Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku"..... Hadis ini mungkar dan sangat-sangat Dhaif, bahkan beberapa ulama' mengatakan hadis ini Palsu! .... yakni penipu..Maka bukanlah kepadanya nilai saintifik dan bukanlah mempunyai nilai agama. Disitu ada hadis yang mengatakan terdapat Fadilat Rejab kepada sesiapa yang bersolat begini dan ia mendapat begini, dan sesiapa yang meminta beristigfar sekali kepadanya maka ia akan mendapat ganjaran begini.... Ini semua adalah berlebih-lebihan (exaggeration), dan semuanya adalah pembohongan. Dari ini satu tanda satu penipuan didalam Hadis yang memasukkan perkara yang berlebih-lebihan...."

Ganjaran yang dijanjikan tidak sepadan dengan amalannya.

Pada beliau ganjaran-ganjaran yang dinyatakan didalam Hadis Palsu itu adalah sesuatu yang berlebih-lebihan. Ini merupakan satu pendustaan yang amat besar. Menurut beliau ganjaran sesuatu ibadat itu mestilah setimpal dengan bentuk ibadat itu sendiri. Katanya :

"Berkata ulama’, Janji untuk mendapatkan ganjaran yang besar diatas perkara yang biasa, atau ugutan kepada azab yang pedih keatas dosa kecil? Ia menunjukkan bahawa ini merupakan Hadis yang bohong."

Umat Islam perlu mengetahui jenis-jenis hadis yang Palsu

Dr Yusuf Qardhawi menyatakan bahawa sebagai seorang Islam kita wajib mengetahui mengenai hadis yang diberikan kepada kita. Tidak ada alasan yang boleh kita berikan kerana terdapatnya buku-buku yang banyak dipasaran mengenai taraf sesuatu hadis. Kata beliau :

"Ulama' telah memberi amaran contohnya keatas Hadis Palsu dan Bohong ini, dan melarang manusia terhadapnya...sesungguhnya telah datang hadis :"Barangsiapa mereka-reka Hadis difikirkan, sesungguhnya ia menipu, maka dia adalah pembohong....."(Riwayat Muslim didalam muqadimahnya yang Sahih), tetapi mereka tidak mengetahui bahawa ia adalah Hadis Palsu, maka ia wajib mengetahui, mengetahui hadis itu dari sumbernya .... maka disana ada Kitab Hadis yang Muktamad, di sana ada kitab khas untuk mengetahui Hadis Palsu, contoh Al-Maqasid Al-Hasanah, karangan Al-Shakhaawi dsb.........."

3] Ibnu Hajar Al-Asqalani

Ibnu Hajar mengatakan adalah menjadi satu kesalahan menetapkan sesuatu hari atau bulan itu khas untuk melakukan amalan. Kenyataan ini dapat di lihat didalam fatwa Shiekh Al-Saqr[5] mengenai fadilat Rejab dengan memetik kata-kata Ibnu Hajar:

"Ibnu Hajar didalam makalahnya ada menyebut berkenaan dengan terdapat hadis-hadis yang melarang berpuasa Rejab sepenuhnya, maka beliau berkata : Larangan ini terpulanglah kepada sesiapa yang berpuasa memuliakan Jahiliyyah, sebagaimana jika dia berpuasa dengan qasad(niat) yang bukan menjadikan penekanan atau mengkhususkan mengenai hari-hari yang dia berpuasa, atau pada malan tertentu dia berqiamullail, maka beliau percaya yang dilakukan itu adalah sunnah, maka ini adalah pekerjaan yang baik atas apa yang diletakkan dan tidak mengapa baginya. Maka jika ianya di khaskan atau menjadi suatu ketetapan, maka ia adalah DITEGAH (Mahzhur), dan makna penegahan itu dialam hadis Nabi saw bersabda :"Jangan mengkhaskan hari Jumaat untuk berpuasa dan jangan [mengkhaskan] malamnya berqiamullail". - riwayat Muslim.

1. Jika mempercayai puasanya atau puasa ini lebih baik dari puasa lainya yang didalamnya terkandung
2. Sesungguhnya jika orang Islam mengkhaskan puasa di setiap hari kemuliaan awam secara tahunan.
3. Menjadikan ia seperti kefarduan ramadhan, atau menjadikan ia sunat sebagai sunat yang kekal.
4. Kerana puasa ini mempunyai fadilat khas dan puasa-puasa yang lainnya kalau dengan itu apa yang dijelaskan oleh Rasulullah saw, : berkata Ibnu Dihya : "Puasa adalah amalan kebajikan". Tidak terdapat fadilat berpuasa didalam Rejab maka perkara itu ditegah darinya. Tamat apa yang dinaqalkan oleh Ibnu Hajar."

4] Dr. Sayid Saabiq

Menurut seorang tokoh Ikhwan Dr Sayid Saabiq didalam membicarakan bab puasa sunat, mengatakan bahawa :

"Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadilat yang berlebih dari bulan bulan lain, melainkan sesungguhnya ia dari bulan-bulan yang haram".

Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram ini mempunyai fadilat-fadilat yang sama. Pendapat ini juga di sokong oleh mazhab Hanbali yang mengatakan menetapkan bulan Rejab sahaja untuk berpuasa sunat adalah makruh.

Hadis-hadis fadilat Rejab yang palsu atau dhaif : -

Dibawah ini disenaraikan beberapa contoh hadis-hadis palsu berkenaan dengan fadilat Rejab:

Barang siapa yang mengerjakan solat Magrib pada permulaan malam Rejab kemudian dia mengerjakan 20 rakaat dengan membaca surah Al-Fatihah dan Qul Hu Allahhu Ahad pada tiap-tiap rakaat satu kali dan dia memberi salam pada solat ini dengan 10 salam, maka tahukah kamu apa ganjaranya? - Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Diriwayatkan oleh Al-Jauzaqanniy dari Anas, kemudian beliau berkata hadis ini adalah Palsu.

Barang siapa yang melakukan solat pada malam Nisfu Rejab 14 rakaat dengan membaca Alhamdu 1 kali pada rakaat, Qul Hu Allahhu Ahad 20 kali, Qul A'uuzu Birabbil Falaq 3 kali, Qul A'uuzu Birabbin Nas 3 kali kemudian apabila dia selesai bersolat hendaklah ia berselawat keatas ku 10 kali kemudian dia bertasbih, bertahmid dan bertahlil 30 kali, maka Allah akan mengutuskan kepadanya 1000 malaikat. - Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam sanadnya terdapat beberapi Rawi yang majhul.

Barang siapa yang berpuasa sehari pada bulan Rejab (ganjarannya) sama dengan puasa sebulan. - Hadis sangat Dhaif.
*Diriwayatkan oleh Al-Khathiib dari Abi Dzar.
*Dalam sanadnya ada rawi yang bernama Al-Furaat bin As-Saaib, dia adalah seorang rawi yang Matruk.
*Ibnu Hajar Al-Asqalaaniy telah menjelaskan bahawa para ahli hadis telah sepakat, bahawa hadis ini diriwayatkan dari jalan Al-Furaat bin As-Saaib, sedangkan rawi ini adalah seorang yang Dhaif.

Barang siapa yang berpuasa 3 hari pada bulan Rejab, dituliskan baginya ganjaran puasa satu bulan dan barang siapa yang berpuasa 7 hari pada bulan Rejab maka Allah tutupkan daripadanya 7 pintu-pintu api neraka. Dan barangsiapa yang berpuasa 8 hari pada bulan Rejab maka Allah membuka baginya 8 buah pintu dari pintu-pintu syurga, dan barang siapa yang berpuasa separuh dari bulan Rejab maka dia akan di hisab dengan hisab yang mudah. - Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Tidak disahkan hadis ini kerana rawi yang bernama Abaan merupakan rawi yang Matruk.
*Selain dari itu ada rawi yang bernama Amar bin Al-Azhar yang sangat suka memalsukan hadis.
Barang siapa yang berpuasa satu hari pada bulan Rejab dan bangun pada malam harinya mengerjakan solat malam maka Allah akan membangkitkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan aman, dan dia berjalan di atas sirat dalam keadaan Tahlil dan Takbir.
-Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam sanadnya ada rawi yang bernama Ismaail, dia adalah seorang rawi yang suka berdusta.

Barang siapa yang menghidupkan satu malam dari bulan Rejab mengerjakan solat malam dan berpuasa padanya satu hari, maka Allah memberi makan kepadanya dari buah-buahan Syurga. - Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam Kitab Al-Laaly dijelaskan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Hussain bin Ali. Kemudian diterangkan bahawa hadis ini Mawdhu'.

Bagaimana beramal didalam bulan ini?

1. Shiekh Mahmud Al-Sya'rawi[8] didalam menjawab satu pertanyaan mengenai apakan bulan dari bulan-bulan 'am yang afdal manusia berpuasa selepas bulan Ramadan, beliau memetik hadis berikut diriwayatkan oleh Musnad Ahmad :

"Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah saw, katanya : Bulan mana kamu perintahkanku berpuasa selepas Ramadan? Maka Rasulullah saw berkata : Jika aku berpuasa selepas Ramadan, maka berpuasalah dibulan Haram, maka sesungguhnya didalamnya dari Taubat Allah swt keatas satu kaum, dan terdapat taubat didalamnya untuk satu kaum yang lain"

Jelas disini menunjukkan bulan-bulan haram ini disunatkan berpuasa dan juga terdapatnya keampunan Allah swt didalam bulan-bulan ini.

2. Bekas Mufti besar Arab Saudi, Shiekh Abdul Aziz Bin Baaz apabila ditanya berpuasa pada bulan-bulan haram, Beliau menjawab:

"Bulan Muharam dari segi syara' dibolehkan berpuasa dengannya dan begitu juga Sya'ban, disana terdapatnya 10 Zulhijjah, bukanlah ada dalil disan keatasnya, akan tetapi berpuasa dengannya TANPA ber'itiqad yang khusus (khas) atau pribadi, maka tidaklah menjadi masalah."
Bagi bulan Allah Al-Haram tersebut, Rasulullah saw pernah bersabda :

((Seafdal-adfal berpuasa selepas ramadan ialah dibulan Allah Al- Haram)). Maka adalah baik bagi berpuasa, atau berpuasalah pada 9, 10 dan 11, itulah yang baik, begitu juga dengan Sya'ban dimana Nabi saw berpuasa dengannya"

3. Seorang Ulama' Islam dari negara Syria yang terkenal pada masa kini, Dr Wahbah Zuhaily mengatakan bahawa, kebanyakkan imam empat mazhab (Syafiie, Hanbali, Maliki dan Hanafi) bersetuju mengenai terdapatnya amalan berpuasa sunat didalam bulan-bulan haram ini, cuma ia berbeza pendapat mengenai cara implementasinya. kata Dr Wahbah Zuhaily:

"Keutamaan berpuasa pada bulan-bulan ini terdapat disisi Mazhab Maliki dan Syafiie, dan mazhab Hanbali berpuas hati dengan keputusan sendirinya memberi keutamaan berpuasa dibulan Haram, pada mereka itulah puasa yang afdal selepas Ramadan, telah bersabda Rasulullah saw : ((Seafdal solat ialah pertengahan malam, dan seafdal puasa selepas bulan Ramadan ialah di bulan Allah Al-Haram)). Seadal puada dibulan haram ialah Hari Al- Asyura', sebagaimana diantaranya. Dan berkata mazhab Hanafiah : Sunat berpuasa didalam bulan-bulan Haram, iaitu berpuasa 3 hari dari semuanya iaitu :- Hari Khamis, Jumaat dan Sabtu."

4. Shiekh Abdul Rahman Al-Jaziry didalam buku Kitab Fikh Empat Mazhab juga memetik persetujuan 4 mazhab ini mengenai puasa dibulan- bulan haram, kata nya:

"Mengenai sunat berpuasa dibulan Rejab dan Sya'ban, Imam-imam ini telah bersetuju dengannya, cuma terdapat khilaf dengan hanbali......... Hanbali : Menetapkan puasa Rejab (secara tunggal) adalah makruh, melainkan jika ia berbuka (tidak berpuasa) secara selang-seli, maka tidaklah Makruh."

5. Panelist fatwa IslamOnline, Shiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, ketika diminta memberi fatwa mengenai apakah berpuasa didalam bulan Rejab itu sunat atau bid'ah, beliau telah menjawab:

"Berpuasa didalam bulan adalah maqbul dan mustahab, keatas semua perkara. Tetapi bukanlah datang dari Rasulullah saw bahawa beliau berpuasa satu bulan penuh, melainkan bulan Ramadhan. Beliau banyak berpuasa didalam bulan Sya'ban, tetapi tidak berpuasa sepenuhnya, dan itulah sunnah nabawiyyah ... Beliau berpuasa dan berbuka disetiap bulan, seperti riwayat mengatakan : ((Beliau berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, Beliau berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa)) (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Maka beberapa golongan manusia berpuasa seluruh bulan Rejab, sebagaimana yang kita lihat sebelum ini, Aku telah lihat beberapa orang berpuasa bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan dan 6 hari didalam bulan Syawal, dan menamakannya "Al-Ayam Al-Baidh", selepas berbuka, mereka akan menjadi perayaan pada hari yang ke 8 dari Syawal....Hasil dari puasa ini ialah 3 b.

Beliau tegas mengatakan bahawasanya disunatkan berpuasa pada bulan- bulan haram, tetapi tidak lah sepenuh bulan Rejab dan Sya'ban, kerana ini tidak dilakukan oleh Rasulullah saw, atau sahabat-sahabatnya ataupun para ulama' Salaf.

6. Syeikh Muhammad Mutawali Al-Sya'rawi didalam fatwanya menjawab persoalan mengenai puasa-puasa sunat, beliau telah menyenaraikan 8 jenis puasa yang beliau sifat sebagai :"Puasa yang orang Islam lakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah"

Puasa-Puasa sunat yang lain

1. Hari Arafah (9 Zulhijjah kepada mereka yang tidak menunaikan Haji.
2. Hari Asyura', disitu ada hari 9 atau mana-mana hari 9 atau 10 Muharam.
3. 6 hari didalam bulan Syawal.
4. Hari-hari Putih didalam bulan-bulan Arab (islam) iaitu :- hari ke 13,14 dan 15.
5. Berpuasa pada hari Isnin dan Khamis didalam setiap minggu.
6. Berpuasa didalam bulan-bulan haram iaitu :- Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.
7. Berpuasa mana-mana dari 9 hari dari bulan Zulhijjah, dari 1 hingga 9 Zulhijjah.
8. Berpuasa penuh didalam Sya'ban atau dengan banyaknya. Para Fuqaha' berpendapat jika seseorang itu ingin melakukan puasa sunat, tetapi dia masih mempunyai baki puasa wajib, hendaklah ia mengqada'kannya. Bahkan jika ia mempunyai kifarat dan nazar, maka hendaklah dia melakukannya puasa itu dahulu.

Kesimpulan :

Hadis-Hadis Bulan-Bulan Rejab kebanyakkannya adalah Mawdhu' (Palsu/Pendustaan terhadap Rasulullah saw : Al-Saqr, Al Qardhawi)
Kita dilarang memilih-milih hari atau malam yang tertentu sahaja untuk melakukan ibadat khusus.(Hadis Nabi saw)
Tidak ada fadilat KHAS yang ditujukan pada bulan Rejab, yang ada cuma fadilat umum kepada ke empat-empat bulan haram.(Al-Saqr, Al-Qardhawi)
Tidak ada solat dan zikir khas untuk bulan Rejab (Al-Saqr, Al-Qaradhawi).
Bulan Rejab seperti bulan-bulan Haram yang lain disunatkan melakukan Puasa sunat dan banyakkan bertaubat. ( Imam Al-Sya'rawi)
Keadah berpuasa di dalam bulan-bulan haram ialah:
- hari yang ke 9,10,11 di dalam bulan Muharam (Syeikh Abdul Aziz bin Bazz)
- berpuasa hari Khamis, Jumaat, Sabtu (Hanafiah - Al-Zuhaily)
- Berpuasa pada bulan Rejab tidak sepenuhnya dan Sya'ban tidak sepenuh bulan (Al-Qardhawi) - berpuasa pada hari Assyura' (10 Muharam) dan Hari Arafah (9 Zulhijjah).
Rejab tidak mempunyai kelebihan dari bulan-bulan yang lain, kecuali kelebihan sebagai bulan-bulan Haram.(Syed Sabiq)
Tidak boleh HANYA berpuasa dibulan Rejab sahaja, dimana 3 bulan- bulan yang Haram yang lain tidak langsung diberi keutamaan melakukan puasa (MazhabHanbali- Al-Jaziry)
Tidak ada dalil yang mengatakan bahawa menziarah kubur didalam bulan Rejab mempunyai kelebihannya.

AWASIlah dari terlibat menyebarkan HADIS-HADIS PALSU, kerana ditakuti kita adalah sebahagian dari mereka yang MENDUSTAKAN Rasulullah saw. (Na'uzubillahhu min zalik).

Dalam mempertingkat amalan-amalan kita kepada Allah swt, sering kali kita disajikan dengan pelbagai-bagai amalan yang kelihatan banyak fadilatnya. Malah ada juga kedapatan beberapa fadilat-fadilat yang sangat rapuh dalilnya, bahkan ia menjadi pegangan sebahagian umat Islam pada hari ini. Bagi persoalan-persoalan seperti fadilat Rejab atau bulan-bulan yang lain, kita mesti kembali kepada 'role model' atau contoh kita, iaitu Rasulullah saw sebagaimana firman Allah swt didalam surah Al-Ahzab ayat 21:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)"

Akhir kata, Selamat menyambut kedatangan bulan-bulan Haram sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah saw.

Rujukan :

Budiman Radzi. Fazilat bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadzan. Alor Setar : Muzakkir Enterprise, 1990.

Tafsir Jalalain. Harf.com. URL :
http://quran.al-islam.com/arb/Default.asp

Sheikh Atiyah Al-Saqr. Fatwa IslamOnline - Fadilat Rejab. URL :
http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp? hFatwaID =10249

Shiekh Dr. Yusuf Al-Qardhawi. Fatwa IslamOnline - kesahihan fadilat Rejab. URL :
http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp? hFatwaID =1308

Sheikh Atiyah Al-Saqr. Fatwa IslamOnline - Fadilat Rejab. URL :
http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp? hFatwaID =10249

Sayyid Sabiq. Fikh Al-Sunnah. Beirut : Al-Fath Lil'alam Al-Arabi, 1995 (cetakan khas dari manar Al-Dauliyah). ms 596.:

Prof. Madya Dr. Farid Ahmad Mohd Isa Jalil. Himpunan hadis-hadis lemah & palsu. Kuala Lumpur : Syarikat Nurulhas.

Shiekh Mohammad Mutawali Al-Sya'rawi. Al-Fatawa. Dar Al-Fath Lil- A'lam Al-Arabi, 2000. ms. 371.

Syiekh Abdul Aziz bin Baaz. Majmu' Fatawa. Riyad : Dar Al-Watan, 1996 ms. 269.

Dr Wahbah Zuhaily. Fikh Al-Islami Wa adillatuhu. Damsyik : Dar Al-Fikr, 1989. ms 591.

Abdul Rahman Al-Jaziry. Kitaabu Al-Fikhu a'la al-Mazaahibi Al- Arba'ah. Dar Al-Manar, 1999. ms 447-448

Shiekh Dr Yusuf Al-Qardhawi. Fatwa IslamOnline - Puasa Rejab. URL :
http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp? hFatwaID =1310

Sheikh Mohammad Mutawali Al-Sya'rawi. Al-Fatawa. Dar Al-Fath Lil- A'lam Al-Arabi, 2000. ms 415
Dr Wahbah Zuhaily. Fikh Al-Islami Wa adillatuhu.Damsyik : Dar Al- Fikr, 1989. ms 595.

Sunday, June 19, 2005

::Maksiat Yang Disegerakan Balasannya::

Daripada Ibnu Omar r.a. berkata : Berhadap Rasulullah saw kepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda :"Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara-perkara itu ialah :-

1. Tiada terzahir (nampak) penzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha'un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.
2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.
3. Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tidak ada binatang (yang juga hidup di atas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.
4. Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian dari pada apa yang ada di tangan mereka.
5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat itu) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri." (Hadith riwayat Ibnu Majah)

Keterangan :Hadith ini menerangkan bahawa :
1. Penyakit taun dan Aids adalah berpunca dari banyak berlakunya penzinaan.
2. Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah berpunca daripada rakyat yang mengurangkan sukatan dan timbangan.
3. Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak mengeluarkan zakat.
4. Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum Muslimin (seperti hilangnya Tanah Palestin dari tangan kaum Muslimin) adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-janji mereka kepada Allah swt.
5. Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin adalah berpunca daripada mengenepikan hukum-hukum Allah swt dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.

Kitab rujukan : 40 Hadith Peristiwa Akhir Zaman (Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi) terbitan Khazanah Banjariah.

Thursday, May 26, 2005

Jangan Sambut Hari Ibu...

Email dikirim oleh seorang kawan, semoga menjadi ingatan buat semua....
agar tidak menjadi ikutan..

Kepada semua baca kisah asal usul pengertian "HARI IBU" yang sebenar.
Kalau kita sambut hari ibu bermakna kita juga merayakan hari "IBU PADA TUHAN" yang menjadi amalan orang GREECE terdahulu. Ini semua sumber dari kristian dan sudah tentu memesongkan akidah kita. Saya bertaubat, kalau dulu saya juga terikut ikut merayakan hari ibu tapi sekarang bila dah tahu tak akan saya buat begitu lagi dan juga pada anak anak akan saya beritahu........jadi kewajipan saya adalah untuk beritahu semua agar JANGAN SAMBUT HARI IBU, kalau kita kasih, sayang dan ingat jasa ibu sebaiknya sentiasa mendoakannya tak perlu cuma pada hari hari tertentu saja, setiap hari mendoakannya adalah sebaiknya dan dituntunt. Harap di sebarkan kepada kawan-kawan atau saudara mara tentang sejarah HARI IBU ini.

History of Mothers Day

The earliest Mother's Day celebrations can be traced back to the spring celebrations of ancient Greece in honor of Rhea, the Mother of the ods. During the 1600's, England celebrated a day called "Mothering Sunday". Celebrated on the 4th Sunday of Lent. "Mothering Sunday" honored the mothers of England. During this time many of the England's poor worked as servants for the wealthy. As most jobs were located far from their homes, the servants would live at the houses of their employers. On Mothering Sunday the servants would have the day off and were encouraged to return home and spend the day with their mothers. A special cake, called the mothering cake, was often brought along to provide a festive touch. As Christianity spread throughout Europe the celebration changed to honor the "Mother Church" - the spiritual power that gave them life and protected them from harm. Over time the church festival blended with the Mothering Sunday celebration. People began honoring their mothers as well as the church. In the United States Mother's Day was first suggested in 1872 by Julia Ward Howe (who wrote the words to the Battle hymn of the Republic) as a day dedicated to peace. Ms. Howe would hold organized Mother's Day meetings in Boston, Mass ever year. In 1907 Ana Jarvis, from Philadelphia, began a campaign to establish a national Mother's Day. Ms. Jarvis persuaded her mother's church in Grafton, West Virginia to celebrate Mother's Day on the second anniversary of her mother's death, the 2nd Sunday of May. By the next year Mother's Day was also celebrated in Philadelphia. Ms. Jarvis and her supporters began to write to ministers, businessman, and politicians in their quest to establish a national Mother's Day. It was successful as by 1911 Mother's Day was celebrated in almost every state.

President Woodrow Wilson, in 1914, made the official announcement proclaiming Mother's Day as a national holiday that was to be held each year on the 2nd Sunday of May. While many countries of the world celebrate their own Mother's Day at different times throughout the year, there are some countries such as Denmark, Finland, Italy, Turkey, Australia, and Belgium, which also celebrate Mother's Day on the second Sunday of May.

Tuesday, May 24, 2005

HEROKAH AKU ???

Pernah tak sahabat semua renungkan.....
betapa kita tidak sanggup untuk bangun malam buat solat sunat
tapi, sanggup tak tidur malam untuk buat assignment.....
Tahukah sahabat semua, Ibnu Sina, studynya disulami dengan zikir...
Apabila terasa buntu, segera bangkit dan solat 2 rakaat minta petunjuk dari Allah.
Kita? Studynya di sulami dengan lagu-lagu lagho......
Kononnya, lebih mudah untuk masuk keotak.
Bila buntu, terasa otak sudah tepu, mulalah mencari hiburan atau paling kurang mengacau kawan.

Tapi, bila ditanya, pandai berkata-kata.
Jika belajar diniatkan kerana Allah, insyaAllah akan mendapat pahala.
Agak-agaknya, kerana Allah ke kita dengar lagu-lagu Metallica, Mariah Carey, Siti Nurhaliza dan sebagainya?
Atau kita niatkan kerana Allah bila menatap majalah HAI!, Mangga, URTV etc,..
Atau kerana Allah kah kita menonton Lord of The Ring, Lagi-lagi Senario, one2ka4, dll?


Bila hati terasa gelap, sukar untuk menerima ilmu, mula bertanya sendiri...
Apa silap sendiri??
Sembahyang tak pernah sampai habis waktu.
Tak pernah aku berdating atau berkasih-kasihan
Tapi, sedar tak kawan-kawan bahawa maksiat itu luas pengertiannya?

Mencuaikan solat adalah maksiat pada Allah.
Melihat orang lain membuat maksiat juga adalah maksiat.
Apatah lagi bila melihat aurat orang lain,... (majalah hiburan) macam mana lah hati tak gelap...
Nak terima ilmu dunia pun terasa payah apatah lagi bila sentuh tentang akhirat.
Ingatlah kawan-kawan,.... matlamat kita bukan sekadar untuk menjadi
engineer tapi juga Hamba Allah yang dipandangNya di akhirat nanti.

Siapakah yang akan membantu kita di padang masyar nanti?
Nak mintak syafaat para artis ke?
Risau jugak, takut-takut Rasulullah tak pandang lansung kat kita.
Nak kenal ikut tanda sujud pun, sujud tak pernah lama.
Setakat cecah dahi kat sejadah Lebih kurang satu saat.
Kalau ikut bekas wudhu' pulak, wudhu' tak pernah sempurna.
Jadi, kalau Rasulullah tak kenal, macam mana dia nak mengaku yang kita ni ummatnya?
Apalah agaknya nasib kita yang bergelumang dosa ni di hari hisab nanti?

Takutnya bila di fikirkannye... terasa nak berhenti dari belajar.
Nak beribadat sahaja tapi, pesan Rasulullah, kita kena kejar dunia dan akhirat.
Dengan ilmu kita boleh menguasai ekonomi yg di terajui kuffar.
Dengan ilmu kita boleh menerajui pimpinan negara.
Kalau tanpa ilmu, kita akan dipandang hina dan tidak berguna.

Tapi, kalau kita masih begini, agak-agaknya siapa yang rugi?

Monday, May 23, 2005

ADA APA DENGAN CINTA....

Bacalah serajinnya. then, insyaAllah you will realize, what is love actually mean. Jangan asyik sempitkan cinta tu among lelaki-perempuan je.

Dalam ISLAM,
kalau dah berkenan kat seseorang,
cepat-cepat la masuk meminang.
Either man or woman can do it.
Siti Khadijah yang offer diri dia pada nabi saw.
Then, baru nabi saw masuk meminang.

Saje nak tunjuk,
yang perempuan pun boleh mulakan step dulu.
Tak haram pun, tapi kalau malu,
Frust tertonggeng, nasib koranglah...

Cinta lelaki antara perempuan, adalah salah satu cabang cinta.
Ia mulia, tetapi jadi kotor sebab perlakuan manusia.

Bila perasaan tu wujud,
terus-terus bawak berbincang dengan orang yang lebih 'alim.
Bukan ape, untuk taqdim kata orang-orang yang terlibat dalam jemaah islam nie.
Kira cop lah senang, atau merisik.
Tapi tak tepat sangat lagi kot.
The best is, guna orang tengah.
Kalau berani nak direct pun boleh jer...

Make sure, cinta tu bukan base on nafsu.
So, cinta yang berlandaskan nafsu semata-mata,
Will be categorized as haram.
Banyak dalil dia.
Contohnye, ‘la taqrabuz zina’.
Lepas tu surah annur...
‘Perempun mukminat mesti tundukkan pandangan’
Yang lelaki pun sama....
Sebab cinta yang dasarnya nafsu,
Confirm la pergi date, pegang tangan segala…
Benda tu semua haram.
So, haramlah bercinta macam tu.
Why???
Cam contoh tadi la,
‘jangan hampiri ZINA...’

Senang kata hukum bercinta ni boleh berubah-rubah...
Sesiapa yang tahu batasan.
InsyaALLAH, cintanya akan diberkati.
Tapi sebenarnya payah jaga batasan,
Lelaki dan perempuan ni umpama magnet yang saling menarik,
dan syaitan sentiasa ada.
So, jalan selamat => nikah...
Dan itulah yang dinamakan taqwa.

And the best is, cinta lepas kahwin....
Islam dah bagi garis panduan cantik dah.
Cerita ringkasnya
1st. tertarik dengan someone.
2nd. pergi merisik
3rd. dah confirm budak tu kosong, gi masuk meminang. Kalau budak tu dah berpunya, lupakanlah. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik. Ingatlah, yakin Allah buat mcm tu sebab nak tunjuk ada orang lain yang lebih baik dari dia.
4th. proses peminangan.
5th. kawin. dan bercintalah semahunya. tiada siapa melarang.

Maybe orang akan cakap,
Camne nak carik keserasian kalau cinta lepas kahwin?
Jawapannya...
Meh aku hempuk pale kau!!!
(jangan mare...)
Siti Khadijah dan Nabi saw dulu ada ke bercinta ke sebelum kahwin???
Nabi dan Aisyah dulu kawin masa Aisyah budak lagi tau...
Logik ke Aisyah ada perasaan cinta waktu umur 9 tahun?

Itulah gunanya merisik, dan merisik mesti guna orang yang alim.
So, dengan berkat orang alim tu, dia akan cari yang terbaik untuk kedua-duanya.

Merisik tu kenalah risik agama dia, kekayaan dia, nasab dia, apa perangai dia, baik ke buruk ke...
Orang tengah ni mesti lah orang yang kenal kita dan kenal si dia.
Takkan la orang alim nak buat dajal pulak kan...
Kalau carik pun orang yang zalim dan fasik jadi orang tengah, memanglah.

Bercinta ni umpama orang nak bukak puasa.
So, kalau nak bukak puasa,
makanan paling sedap mestilah yang beli panas-panas
before bukak puasa kan?
kalau bukak puasa pukul 7 malam,
tapi makanan dah beli pukul 1 tgh hari,
rasa-rasa sedap tak makanan tu?
Jawab la sendiri...

Maybe orang cakap,
Tutuplah dgn tudung saji...
tutup pun, korang rasa sedap tak ayam panggang yang dah sejuk makan buat bukak posa?

Ada plak yang nak menjawab...
Boleh panaskan guna microwave.
Makanan bolehlah,
Tapi kalau orang...?
Perasaan...?

So, kalau nak bercinta fikirlah, bila nak tamatkan zaman bujang?
Kalau rasa umur 20 or 21 tahun nak tamatkan zaman bujang.
Bolehlah carik sekarang.
Tapi kalau rasa dalam umur 25 baru nak berteman,
Carik la masa umur dalam sekitar 23 or 24.

Dan biasanya perempuan akan tertanya... laku tak aku ni nanti?
Sorry to say...
Perempuan sekarang tak seimbang di IPT.
jawapannya, as long as you jaga ketertiban as muslimah yang solehah,
Pasti ada orang yang nak jadikan isteri.
Jangan risau la pasal tu...
Tapi kalau korang act pun cam perempuan gatal, memang payah la rasanya...

Tak percaya?
survey has been made by non-muslim researcher...
for a long term partner... kawin la tu!
lelaki muka hensem, yang perempuan cantik, body solid lagi...
tough bukan yang tu jadi perkara utama.
orang tetap akan cari yang baik perwatakan,
dan kalau dapat suami yang hensem,
tough dan beriman tu rezeki namanya.
samalah kalau dapat isteri yang badan solid, cantik segala, beriman lagi.

Tak percaya jugak?
Bacalah cerita artis-artis yang still solo.
walaupun pakai seksi cam ner pun,
dia tetap cakap nak carik lelaki yang beriman, yang boleh bimbing dia.
Rasanya tak pernah jumpa lagi, artis seksi nak carik lelaki yang pernah ambik gambar berspender je kat majalah, untuk jadi suami dia...

Sesungguhnya Allah telah berfirman,
‘Lelaki yang baik utk perempuan yang baik, Lelaki yang berzina (jahat) utk perempuan yang berzina (jahat)... ’

Sunday, May 22, 2005

“ SELOKA ”

Di dalam hidup manusia, yang penting ialah BERKAT.
Bila hidup kita berkat, diri ini akan selamat.
Apabila diri selamat, rumahtangga jadi sepakat.
Apabila rumahtangga jadi sepakat, masyarakat jadi muafakat.
Apabila masyarakat jadi muafakat, negara kita menjadi kuat.
Apabila negara menjadi kuat, negara luar jadi hormat.
Apabila negara luar jadi hormat, permusuhan pun tersekat.
Apabila permusuhan tersekat, pembangunan pun meningkat.
Apabila pembangunan pun meningkat, kemajuan menjadi pesat.
TETAPI AWAS,
Apabila pembangunan meningkat, kemajuan menjadi pesat,
Kita lihat bangunan naik bertingkat-tingkat.
Ditengah-tengah itu, tempat maksiat tumbuh macam kulat.
Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam kulat,
Ketika itu manusia mula mengubah tabiat.
Apabila manusia telah mengubah tabiat, ada yang jadi lalat ada yang jadi ulat.
Apabila manusia dah jadi ulat, sembahyang makin hari makin liat.
Apabila sembahyang jadi liat, orang baik ada yang bertukar jadi jahat.
Apabila orang baik bertukar jahat, orang miskin pula nak kaya cepat.
Apabila orang miskin nak kaya cepat, orang tua pula nak mati lambat.
Apabila orang tua nak mati lambat, tak dapat minum madu telan jerla minyak gamat.

Yang lelaki,
Budak muda pakai seluar ketat.
Semua nak tunjuk kuat.
Bila berjudi, percaya unsur kurafat.
Tapi hidup pula yang melarat.
Tali kasut dah tak berikat.
Rambut pun jarang sikat.

Yang perempuan,
Suka pakai mini sekerat.
Suka pulak ngan baju ketat.
Suka sangat menunjukkan pusat.
Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat.
Pakai pulak yang singkat-singkat.
Kadang-kadang ternampak benda 'bulat'.

Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti tercegat.
Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat.
Duduk jauh berkirim surat.
Bila berjumpa, tangan berjabat.
Kemudian pakat lawan peluk siapa erat.
Masa tu, nafas naik sampai tersekat-sekat.
Usah peduli agama dan adat.
Usah takut Allah dan malaikat.
Yang penting apa kita nak buat?
Kita 'bukti' lah kita buat.
Akhirnya perut kempis dah jadi bulat.
Apabila perut kempis dah jadi bulat,
maka lahirlah pula
anak-anak yang tak cukup sifat.
Bila anak-anak tak cukup sifat,
jam tu kita tengok bayi dibuang di merata tempat.

MAKNANYA KETIKA ITU,
IBLIS MULA MELOMPAT.
Dia kata apa?
Habis manusia dah masuk jerat.
Habis manusia telah tersesat.

Inilah dia fenomena masyarakat.
Oleh itu wahai saudaraku dan para sahabat,
Marilah kita pakat mengingat,
Bahawa dunia hari ini makin singkat,
Esok atau lusa mungkin kiamat,
Sampai masa kita semua akan berangkat!
Berangkat menuju ke negeri akhirat.

Di sana kita akan ditanya apa yang kita buat.
Masa tu, sindri mau ingat…

Umur kome dah banyak mana buat ibadat...?
Zaman muda hang, apa yang dah hang buat...?
Harta benda mu, dari mana mu dapat...?
Ilmu anta, adakah anta manafaat...?

Semoga ianya dapat mengingatkan kita supaya segera meninggalkan maksiat
dan memperbanyakkan buat ibadat

Friday, October 01, 2004

BULETIN PPIP BIL 4 /OKT 2004

MENARIK DI DALAM

MUHASABAH DIRI: IBADAHKU ZIKRULLAH
FOKUS: Memahami Intipati Puasa
TINTA PEMBACA: Rahsia Dalam Nikmat

Dan lain-lain lagi...